Kawan-kawan Blog

Mencuri Masa ataupun Menghargai Masa?


Saya percaya ramai di kalangan kita yang pernah terniat, berniat, bercita-cita mahupun teringin menghasilkan buku sendiri. Lebih bersemangat apabila melihat semakin ramai penulis muda muncul bak 'cendawan tumbuh selepas hujan'. Tetapi ia hanya menjadi 'hangat-hangat tahi ayam', sekadar menulis sehelai dua dan kemudian menyerah begitu sahaja. Ada yang sekadar mencoret di atas helaian lebihan kertas. Ada juga yang menaip tetapi terbantut tanpa pengakhiran. Saya juga termasuk seorang daripadanya.

Bertemu dengan buku Tip Menjadi Penulis Bestseller karya Tuan Zamri Muhammad yang diterbitkan oleh PTS Professional Publishing Sdn Bhd hampir dapat merealisasikan impian saya. Masakan tidak, manuskrip yang saya sedang hasilkan sudah pun menjangkau bab ketiga dalam masa kurang sebulan! Satu pencapaian yang sangat menakjubkan bagi saya sebagai individu yang baru ingin berjinak-jinak di dalam bidang penulisan.

Mengapa buku ini? Buku ini merangkumi pelbagai topik dan prosedur dari awal proses mahu menulis sehingga ke proses cara kita mahu mengambil tempat di hati penerbit, editor dan pembaca khususnya. Banyak juga tunjuk ajar yang saya tandakan di dalam buku ini sebagai rujukan yang perlu saya selak setiap kali kelupaan. Penyampaiannya yang santai dan bersahaja tetapi ringkas, jelas dan padat dengan maklumat membuatkan anda berpuas hati memilikinya! Harganya cuma RM28 dengan ketebalan 275 muka surat, tidak termasuk kulit buku dan helaian promosi.

Buku yang dipenuhi dengan tip-tip yang sangat bernas ini mengandungi 40 bab yang dibahagikan kepada 3 bahagian. Bahagian mana yang saya suka? Sememangnya sukar untuk memilih kerana ketiga-tiga bahagian ini amat berkaitan di antara satu sama lain. Antara tip yang saya tanda sebagai rujukan utama adalah Sistem Kerja dari Manuskrip ke Buku, tip daripada Pegawai Perhubungan Awam kepada Penulis Bestseller, Mengumpul Idea-idea Kasar untuk Buku yang Hendak Ditulis, KJ Method dan banyak lagi.

Lebih berharga apabila Tuan Zamri menyelitkan juga tip penyediaan kertas cadangan yang berkesan, isu harta intelek dan kepentingan hak penulis serta perjanjian penerbitan, isu yang sentiasa dipandang ringan dan sepi oleh individu yang baru mahu berkarya. Ternyata sungguh tidak rugi saya memiliki buku ini. Paling penting, saya tidak lagi mencuri masa untuk menulis tetapi lebih menghargai masa untuk menulis!

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin
 

© Copyright Kisah Santai Aku . All Rights Reserved.

Designed by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine

Blogger Template created by Deluxe Templates