Menari
Menari. Bila kali terakhir aku menari? Seingat aku,kali terakhir menari semasa di kampus dahulu. Menyertai aktiviti yang memerlukan aku menari. Tetapi bukan buat tatapan lelaki....
Seni
Bila sebut menari, emosi yang mengiringinya selalu bernada bahagia. Bahagia dan gembira meraikan sesuatu. Mungkin ada tarian yang berlagu sedih. Tetapi mahu dicari tarian berbentuk ini, bagai mencari gula di dalam pasir. Tambahan tarian-tarian zaman sekarang. Berbeza sungguh gaya ekspresi yang mahu diluahkan. Zaman dahulu, tarian dikaitkan dengan budaya dan adat bangsa. Zaman kini? Sekadar lebih menunjuk skil daripada mendalami maksudnya. Ah, mungkin ini juga dipanggil seni. Seni itu kan terbentang luas, tiada penghujung dan tiada noktah. Semua orang mampu menggelarkannya seni.
Abstrak
Lihat sahaja lukisan yang abstrak. Siapa tahu lukisan yang rupanya bernilai jutaan ringgit itu pernah hampir mahu dibuang? Lantas dicelorengkan dengan geram, dipahat namanya sebagai abstrak. Nah, pulangannya lumayan. Siapa tahu? Itukan seni? Lagi seni apabila yang melakarkannya adalah orang yang sudah terkenal. Wah, segalanya indah. Terus jiwa menari, berbunga riang.
Pedih
Hari ini, aku sukar mahu menari. Tarianku bisa sumbang bagai sampan tanpa pendayung, bagai rumah tidak bertiang. Saban hari hati kecil ini terasa dihiris-hiris dengan onar yang dilakukan oleh hamba yang bergelar manusia.
Sudah lama aku tidak membaca akhbar. Jujurnya, banyak berita aku ketahui daripada televisyen. Selebihnya di internet. Tidak sanggup lagi bahu ini memikul beban penganiyaan yang berleluasa.
Aniaya mereka yang lebih kecil, lebih tulus dan lebih mudah dikuasai. Hati meruntun sayu melihat kanak-kanak yang dizalimi. Bayi yang tidak mengerti apa-apa diperlakukan seperti sampah. Makhluk apakah ini?
Tragis
Teringat aku kepada kisah kanak-kanak yang dilempar ke dinding oleh teman lelaki ibunya sendiri. Cukup! Ini adalah klimaks aku sanggup mendengar kisah-kisah begitu. Berita yang aku baca tidak aku habiskan. Biar tergantung begitu sahaja. Manusia semakin kejam. Manusia semakin zalim. Aku sedih.
Jiwa keibuanku meronta-ronta. Ya Tuhanku, lindungi anakku daripada kekejaman yang semakin berleluasa ini. Kisah-kisah ngeri sejak akhir-akhir ini benar-benar mencabar naluriku. Hatiku benar-benar tidak mampu menari lagi.
Ternyata tanda-tanda kiamat kecil sudah semakin jelas. Dunia sudah lama menangis. Manusia masih mampu menari keriangan. Kalau dunia mampu berbicara, sudah lama dia bertempik di atas kemusnahan ini. Waktu entri ini ditaip, bahang panas semakin terasa walaupun jam sudah lewat 10 malam. Mungkin ini luahan amarah sang dunia kepada kita, kerana hati kita masih menari....


0 comments:
Post a Comment